YBhg. Datuk/Dato'/Datin/Tuan/Puan,
Rasulullah SAW bersabda;
Tidak ada hari yang disambut oleh para hamba melainkan di sana ada dua malaikat yang turun, salah satunya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang-orang yang berinfaq. Sedangkan (malaikat) yang lainnya berkata: ‘Ya Allah berikanlah kehancuran kepada orang-orang yang menahan (hartanya). (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Latar Belakang Mukim Paya Rambai
Mukim Paya Rambai terletak di dalam daerah Kota Bharu Kelantan yang juga boleh dikategorikan kedudukan lokasinya di dalam bandar Kota Bharu. Jumlah penduduknya kini mencecah 15,000 orang, Masjid As-Solihin menjadi masjid utama di Mukim Paya Rambai dan menjadi masjid pilihan kepada penduduknya menunaikan sembahyang lima waktu.
Objektif Utama Pembinaan Masjid As-Solihin Mukim Paya Rambai.
Kiraan terkini menunjukkan bahawa jumlah ahli kariah seramai 15,000 orang yang mana 20% daripada jumlah tersebut adalah lelaki dewasa dan jumlah ini semakin meningkat dari hari ke hari. Namun begitu, ruang solat Masjid As-Solihin yang menjadi tempat kepada ahli kariah untuk menunaikan Solat Jumaat dan Solat Hari Raya tidak lagi dapat menampung jumlah ahli jemaah yang hadir untuk menunaikan solat tersebut. Atas dasar itu, satu inisiatif untuk menaik taraf masjid lama yang boleh memuatkan lebih dari 1,000 jemaah dalam satu masa telah dirancang oleh pihak Jawatankuasa Pembinaan Masjid As-Solihin Mukim Paya Rambai Kota Bharu.
Kerja menaik taraf Masjid As-Solihin fasa 1
Kerja menaik taraf Masjid As-Solihin fasa 1
Tujuan Dana
Tujuan utama dana dikumpulkan adalah untuk membiayai kos pembinaan Masjid As-Solihin Mukim Paya Rambai bernilai RM3.1 Juta. Antara kos yang terlibat dalam pembinaan masjid ini adalah seperti berikut:
- Pembinaan Bangunan Utama Masjid
- Bangunan Tandas Dan Bilik Air
- Parking Kenderaan
- Kos Kerja Awalan
- Kos Kerja Pendawaian
- Perabot Dan Kelengkapan
- Kos Kerja Luar Jangka
Rancangan kerja-kerja pembangunan Masjid As-Solihin Mukim Paya Rambai.
Pembangunan Masjid As-Solihin fasa 1 telah siap dan digunakan.
Ganjaran Infaq Harta Di Jalan Allah
Di dalam al-Quran Allah menyebut ganjaran secara umum bagi setiap harta yang dikeluarkan ke jalan Allah termasuk berwakaf, sepertimana di dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud “Perumpamaan bagi orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya."
Di dalam hadis pula, daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah telah bersabda “Apabila mati anak Adam, akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya". (HR Muslim)
Hadis ini memberi gambaran kelebihan ciri-ciri berwakaf walaupun secara zahir perkataan ‘wakaf’ tidak di sebut, tetapi para ulama mengatakan berwakaf termasuk didalam maksud sedekah jariah.
Hikmah Berwakaf
Tahukah anda, apakah hikmah atau manfaat yang akan diperolehi bagi mereka yang berwakaf? Apakah sesuatu yang diwakafkan memiliki manfaat bagi pewakaf? Atau apakah harta yang akan diwakafkan hilang sia-sia begitu saja?
Berikut adalah hikmah berwakaf :
- Melatih jiwa sosial dan membantu yang kesulitan
- Menyedari bahawa harta benda di dunia ini tidak kekal
- Amalan tidak terputus pahala
- Mengeratkan tali persaudaraan dan mencegah ketidakseimbangan sosial
- Mendorong pembangunan negara
Mudah-Mudahan setiap sumbangan yang kita berikan akan menjadi pemberat timbangan dan menyelamatkan kita dari siksa neraka insyaAllah.
Ayuh kita bantu rumah Allah ini. Mungkin kecil yang kita berikan, suatu hari nanti menjadi begitu besar di sisi Allah dan menjadi sedekah yang akan mengalir pahalanya kepada kita berkekalan sampai bila-bila.